19/09/16 : Harian Metro – Maklumat tepat mengenai kesihatan

0
162
views
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my

 

Kepala makin kuat denyutnya dan pandangan pula mulai kabur. Atas alasan kesuntukan masa, hanya pil penahan sakit jadi pilihan.

Kala diceritakan masalah kepada teman atau keluarga, ada yang memberikan beberapa tip bagi menanganinya.

Tidak kurang pula yang menggesa ‘Google saja’ bagi mendapatkan jawapan dan cara rawatan sesuai yang boleh dilakukan di rumah.

Dengan kemudahan teknologi di hujung jari, pasti ramai yang memilih ‘Google saja’ bagi mendapatkan tip rawatan segera.

Hanya taip saja masalah yang dihadapi, terhidang ribuan malah jutaan tip di laman Internet hingga membuatkan ia menjadi pilihan ramai.

Budaya berkongsi di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram membuatkannya lebih galak di enjin carian.

Namun sedar atau tidak, apa yang dihidangkan di Internet itu tidak semuanya tepat. Mungkin resipi masakan atau beberapa petua pengurusan kediaman boleh diikuti, tetapi sebaik-baiknya elakkan percaya 100 peratus kepada tip kesihatan yang diberikan terutama daripada sumber yang tidak diketahui.

Sedar pentingnya memberikan maklumat tepat kepada masyarakat mengenai kesihatan, laman Medical Mythbusters Malaysia atau M3 diwujudkan di Facebook.

Ia mula beroperasi dan dirasmikan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 3 Jun lalu.

Menerusi laman M3 itu, pengunjung dapat mengetahui lebih lanjut jenis penyakit dan boleh berkongsi maklumat dengan pengunjung lain.

Yang pasti, semua maklumat di dalam laman itu sahih dan diakui pakar perubatan.

“M3 bertindak secara proaktif dan reaktif dari segi kandungannya. Kandungannya banyak dipengaruhi oleh isu semasa atau ‘trending’ di laman sosial selain beberapa fakta kesihatan.

“M3 juga digunakan bagi mendapatkan kepastian mengenai satu-satu mitos kesihatan, sekali gus membantu pengunjung laman itu lebih peka dengan apa yang dibaca serta difahaminya,” ujar salah seorang pengasas M3 merangkap pegawai perubatan KKM Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris.

Sehingga kini, M3 mempunyai 40 sukarelawan yang pakar dalam pelbagai bidang kesihatan bagi membantu pengunjung mendapatkan maklumat tepat mengenai isu kesihatan.

Kata Dr Ahmad Firdaus, setiap artikel akan disemak beberapa pakar terlebih dulu sebelum dikongsi bersama pengunjung.

Bagaimanapun, M3 tidak menyediakan khidmat nasihat perubatan peribadi dan menggesa pengunjung bertemu pakar di hospital jika ingin mendapatkan bantuan perubatan.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada Facebook, wanita menjadi pengunjung dan pengikut utama M3. Sehingga kini, M3 sudah menarik lebih 44,000 ‘like’ di Facebook dengan paparan sekurang-kurangnya dua artikel sehari.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia.