23/07/16 : Berita Harian – Ahli perubatan perlu tangani gerakan anti-vaksin

0
130
views

SABTU, 23 JULAI 2016 @ 6:50 PM : Oleh Khairul Azran Hussin khaiazr@bh.com.my

SHAH ALAM: Gerakan kumpulan anti-vaksin adalah sesuatu yang serius serta perlu ditangani dengan bijaksana oleh semua ahli perubatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sudah tiba masanya semua pihak yang menyokong penggunaan bahan itu untuk menjawab setiap persoalan dibangkitkan gerakan penolakan vaksin yang menggunakan media sosial untuk mempengaruhi pemikiran orang ramai.  Katanya, isu itu tidak patut ditimbulkan kerana kajian membuktikan ia digunakan untuk meningkatkan imunisasi badan sejak dahulu lagi, malah keberkesanannya dibuktikan secara klinikal.

“Semua doktor dan ahli perubatan kena jawab setiap isu dengan jelas, sahih dan tegas. Semua perlu ingat bahawa kita semua adalah ahli profesional, jadi jika ada persoalan dibangkitkan di Facebook, kita jawab dengan betul.

“Kita semua perlu guna hujah dan fakta dalam setiap isu yang dibahaskan, bukannya kita bercakap mengikut emosi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Medical Mythbusters Malaysia (M3) di sini, hari ini.

M3 adalah komuniti yang dianggotai oleh 30 ahli perubatan dan pakar dalam pelbagai bidang kesihatan antaranya ortopedik, anaesthesiologi, oftalmologi dan farmasi.  Komuniti itu bertujuan untuk menangkis maklumat perubatan palsu serta membetulkan mitos atau fitnah perubatan yang disebarkan di media sosial, termasuk isu suntikan vaksin imunisasi.

Sementara itu, wakil M3, Dr Nur Asyikin Mohd Yunus, berkata komuniti berkenaan adalah gabungan ahli perubatan dalam pelbagai bidang dan bersedia menjawab pelbagai persoalan serta keraguan masyarakat mengenai maklumat kesihatan.

“Idea ini timbul apabila kita melihat pengguna laman sosial tidak dapat membezakan yang mana maklumat betul dan salah. Sepatutnya masyarakat kena tahu fakta yang betul, bukan bertukar kepada masyarakat kena tipu,” katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/176253

http://www.bharian.com.my/node/176253