AIR AJAIB MENCUCI BUAH PINGGANG!!

1
636
views

https://www.niddk.nih.gov/health-information/health-communication-programs/nkdep/learn/causes-kidney-disease/testing/understand-gfr/PublishingImages/NKDEP_GFR_DIAL_953x573.jpg

Beberapa bulan lepas, seorang gadis berusia 18 tahun datang ke klinik saya. Datang dengan bengkak pada kedua belah kaki dan ruam di muka dan badan. Selepas beberapa pemeriksaan dan penyiasatan, gadis ini disahkan mengalami Systemic Lupus Erythematosus (SLE), sejenis penyakit autoimmune. Lebih mendukacitakan lagi, penyakit ini telah memberi komplikasi kepada buah pinggang gadis tersebut. Semasa datang kepada saya, fungsi buah pinggangnya (eGFR) telah turun kepada 40-50, Chronic Kidney Disease stage 3. Oleh itu, gadis muda ini telah dirujuk ke pakar buah pinggang dan pakar Rheumatology. Alhamdulillah, dengan rawatan di klinik-klinik pakar tersebut, penyakitnya stabil. Beberapa bulan selepas itu, semasa janji temu beliau dengan saya, fungsi buah pinggangnya stabil dan tidak merosot, ruam dan bengkak kakinya juga hilang. Walaupun terpaksa mengambil berbagai ubat-ubatan seharian, beliau redha dan faham akan masalah kesihatannya. Secara umum, beliau gembira dengan keadaan pada waktu ini.

Namun….

Pada janji temu seterusnya, keadaan kesihatan beliau merosot. Seluruh badan bengkak, beliau tidak lagi boleh berjalan jauh tanpa lelah, malah tidak boleh baring tanpa menggunakan bantal. X-ray beliau menunjukkan dada di penuhi air. Laporan ujian darah beliau menunjukkan fungsi buah pinggang beliau merudum ke 10 sahaja!! Saya terkejut, gadis yang baru melangkah kaki ke kolej ini sudah perlu dialysis sepanjang hayatnya!!

“Kenapa jadi macam ni?” tanya saya.

Rupa-rupanya beliau telah dibawa ahli keluarga berjumpa dengan seorang ‘ustaz’. Diberitahu bahawa sakit beliau ini buatan orang. ‘Ustaz’ tersebut menyuruh beliau berhenti segala ubat-ubatan hospital dan minum air yang diberi. Kosnya tidak mahal, hanya belasan ringgit setiap kali berjumpa. Berbanding ubat-ubatan hospital yang lebih mahal, sudah tentu ia lebih menjimatkan. Pada awalnya, simptom-simptom si gadis tampak elok walau tanpa ubat hospital. Gembira bukan kepalang apabila tidak lagi perlu menghabiskan wang dan waktu ke hospital. Rawatan alternatif yang amat berkesan. Namun, setelah beberapa lama mengambil air ajaib tersebut, simptom-simptom yang lebih teruk datang. Sudahlah memungkiri pula temu janji pakar buah pinggang dan Rheumatology. Alasannya, si ‘ustaz’ kata penyakit ini bukan penyakit badan, ia buatan orang!

Disebabkan fungsi buah pinggang yang tenat dan simptom lebihan air dalam badan, kes ini dirujuk segera ke pakar buah pinggang. Beliau perlukan dialysis. Namun, ahli keluarganya berkeras tidak mahu dialysis dan mahu mencuba alternatif lain. Cukup sekadar ubat-ubatan lamanya disambung. Masih tidak mahu menerima keburukan air ajaib yang diterima dari ‘ustaz’. Si gadis hanya diam tak berkata. Ikutlah apa ibu dan ayah rasa terbaik buatnya. Setelah berkali-kali cuba diyakinkan oleh saya, malah juga oleh pakar buah pinggang, mereka tetap berkeras tidak mahu dialysis. Kami akur, doakan yang terbaik buat si gadis.

2 minggu kemudian, saya cuba cari data si gadis dalam sistem hospital. Sedih, remuk hati ini. Nama si gadis sudah berwarna merah. Menandakan beliau sudah pergi meninggal kan kita. Sebab terakhir beliau datang ke kecemasan; sepsis,fluid overload and uremia in end stage renal failure. Jangkitan teruk, lebihan air dalam badan, lebihan toksin akibat kegagalan fungsi buah pinggang.
_____________________________________________________

Penyakit kegagalan buah pinggang semakin meningkat di Malaysia. Ia memberikan beban bukan sahaja kepada pesakit malah kepada kerajaan. Bagi pesakit yang memerlukan dialysis, kosnya lebih kurang RM2500 sebulan. Sayangnya, kerosakan buah pinggang kebanyakannya tidak memberikan apa-apa tanda, selagi tidak belum betul-betul gagal. Sebab itu, ramai pesakit buah pinggang hadir mendapatkan rawatan bila sudah lewat.

Apa punca kegagalan buah pinggang? Berikut adalah antara punca kerosakan buah pinggang.

1) Kencing manis tidak terkawal. 58% pesakit baru yang memerlukan dialysis adalah disebabkan kencing manis. Ini diterukkan lagi dengan beban kencing manis yang semakin meningkat di Malaysia
2) Darah tinggi tidak terkawal
3) Penggunaan ubat-ubatan tahan sakit secara berterusan dan berpanjangan. Terutamanya NSAIDs seperti voltaren (sodium diclofenac), ponstan (mefenamic acid), synflex (naproxen) dan lain-lain.
4) Penyakit-penyakit autoimmune seperti SLE dan sebagainya. Seperti gadis malang dalam cerita di atas.
5) Sumbatan pada salur buah pinggang atau kencing sama ada disebabkan struktur tidak normal atau batu karang.

Kerosakan buah pinggang berlaku secara berperingkat. Jika penyebab kerosakan tidak dihentikan, kencing manis dan darah tinggi tidak dikawal, fungsi buah pinggang semakin merosot. Apabila fungsi (dikira sebagai eGFR) mencapai kurang dari 15, dialysis diperlukan. Ini kerana dalam keadaan ini buah pinggang tidak lagi mampu menjalankan fungsinya iaitu mengeluarkan toksin dan air berlebihan dari badan. Jika tidak dialysis, risiko menjadi seperti gadis dalam cerita di atas adalah tinggi.

Pencegahan adalah rawatan terbaik. Bagi mereka yang masih normal fungsi buah pinggangnya, jaga lah kesihatan dengan baik. Senaman, kurangkan garam dalam makanan, kawal pengambilan gula, berhenti merokok dan elakkan menggunakan ubat tahan sakit tanpa nasihat doktor.

Namun, bagi yang sudah mempunyai masalah buah pinggang, patuhilah temu janji anda dengan doktor. Bincang dengan doktor jika ubat-ubatan yang diberi memberikan masalah kepada anda. Jangan mungkir temujanji dengan menggunakan rawatan alternatif yang tak terbukti keberkesanannya. Jus-jus kesihatan, pil-pil herba, mesin-mesin ajaib, jangan bazirkan duit anda di situ. Dapatkan nasihat pakar.

Nyawa itu anugerah, dan anugerah itu tidak harus diperjudikan.

Cerita di atas diolah dari pengalaman sebenar. Gambar ihsan google.

Sumber rujukan:
1) Malaysian CPG on Management of Chronic Kidney Disease in Adults, http://www.acadmed.org.my/view_file.cfm?fileid=497
2) Malaysian CPG on Diabetic Nephropathy, http://www.acadmed.org.my/view_file.cfm?fileid=271

Dr Amirul Amzar
Pegawai Perubatan PPUM

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here