Bahaya salah guna Misoprostol

0
906
views

Kes pengguguran kandungan secara haram semakin meningkat dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Lambakan penjualan ubat bagi tujuan menggugurkan kandungan yang diiklankan secara terbuka melalui laman sosial di Malaysia amnya menjadi penyumbang utama kepada permasalahan ini.

Misoprostol merupakan ubat terkawal yang disenaraikan sebagai racun kumpulan B di bawah jadual Pertama Akta Racun 1952.

Ubat ini hanya boleh dibekalkan oleh Ahli Farmasi dengan preskripsi dari Pengamal Perubatan Berdaftar sahaja.

Di Malaysia ubat Misoprostol ini didaftarkan dengan indikasi atau untuk tujuan rawatan penyakit ulser perut dan duodenal.

Namun dalam kes menggugurkan kandungan, ubat ini telah disalahgunakan oleh segelintir golongan wanita hamil.

Penggunaan misoprostol tanpa nasihat atau pengawasan daripada doktor yang bertauliah boleh membahayakan wanita hamil kerana ubat ini boleh menyebabkan pendarahan yang teruk dan juga kematian.

Selain daripada itu, antara kesan sampingan penggunaan ubat misoprostol yang dilaporkan adalah kekejangan otot, pening, loya, muntah, cirit-birit dan demam.

Aktiviti penjualan misoprostol melalui laman sosial sangat membimbangkan.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau semua laman sesawang, media sosial dan ruangan iklan di internet bagi menyekat penjualan ubat ini secara terbuka.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli ubat ini melalui laman sosial atau daripada mana-mana orang perseorangan.

Selain tindakan ini menyalahi undang-undang, ketulenan dan kesahihan ubat juga turut diragui. Pastikan tiada sebarang pembelian ubat dibuat secara atas talian (on-line).

Penjualan ubat misoprostol hanya boleh dilakukan oleh syarikat yang dilantik oleh pemegang pendaftaran sahaja.

Di bawah Akta Racun 1952, penjual yang didapati bersalah menjual ubat ini secara haram akan diperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Semua produk ubat-ubatan yang berdaftar dalam negara ini akan mempunyai 2 ciri utama bagi memastikan ubat-ubatan ini adalah daripada sumber yang sah, iaitu nombor pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan sticker hologram KKM pada kotak produk.

Orang awam boleh membuat aduan terus kepada Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri sekiranya mempunyai maklumat berkaitan penjualan misoprostol untuk tujuan pengguguran kandungan agar tindakan perundangan boleh diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab serta membahayakan kesihatan awam.

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi di hospital, klinik-klinik kesihatan dan farmasi komuniti atau boleh menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722. Kami sedia membantu.

 

Disediakan oleh,
Hazlin Syafinar Bt Hussein,
Pegawai Farmasi &

Mohd Dziehan Mustapa
Pegawai Farmasi
Medical Mythbusters Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here