Bangun perlahan-lahan

0
199
views

SLOW SLOW BANGUN.

Ameen….
Selesai berdoa selepas solat Maghrib jemaah akan bangun daripada duduk untuk bersalam-salaman dan ada yang bergerak ke belakang masjid untuk solat sunat…

Kelihatan seorang pakcik seperti akan rebah semula selepas bangun daripada duduknya…

saya dengan pantas bersama-sama beberapa jemaah lain memegang dan menyokong badan pakcik tersebut agar tidak terus jatuh dan tumbang..

Kami dudukkan semula pakcik tersebut dan biarkan dia bersandar seketika pada dinding.

Mengapa pakcik?
Entah lah, bangun daripada duduk tadi terus pakcik rasa macam nak pitam, kepala dah mula pusing dan mata gelap tiba-tiba.
Selalu ke seperti ini pakcik? Ada amik sebarang ubat tak?
Selalu juga….kalau pakcik bangun dengan cepat. Hmmmmm mana anak tahu pakcik makan ubat? Pakcik memang ada ambil ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi…
Ooooooo….patutlah

Inilah yang kita katakan sebagai “Postural Hypotension”.
Postural Hypotension adalah suatu keadaan di mana berlakunya penurunan tekanan darah sistolik sekitar 20mmHg dan tekanan darah diastolik 10mmHg selama lebih kurang 3min semasa berdiri.

Ia sering disebabkan oleh pergerakan seseorang daripada berbaring atau duduk kepada kedudukan berdiri secara pantas atau mengejut.

Apabila dalam keadaan seperti ini, kegagalan kadar denyutan jantung untuk meningkatkan paras tekanan darah yang menurun tadi menyebabkan keadaan kurang tekanan darah berlaku.

Keadaan ini kerap berlaku dalam kalangan individu yang berumur.

Postural Hypotension boleh disebabkan oleh keadaan penyakit tekanan darah tinggi, diabetes, sakit jantung, dehidrasi, kekurangan darah (anemia), terlalu lama berbaring dan pengambilan sesetengah jenis ubat.

Antara ubat yang boleh menyebabkan atau menambah kesan Postural Hypotension adalah:
• Ubat anti-parkinson (cth: levodopa, dopamine agonist)
• Diuretik thiazide (cth: hydrochlorothiazide)
• Vasodilator (cth: nitrate, hydralazine)
• Alpha-blockers (cth: prazosin)
• ACE-Inhibitors (cth; perindopril, enalapril, ramipril, fosinopril, lisinopril)
• Opiods (cth: morphine, oxycodone)
• Tricyclic antidepressants (cth; amitriptyline, imipramine)
• Phenothiazine antipsychotics (cth; chlorpromazine, trifluoperazine)

Selain daripada itu penggunaan ubat anti-hypertensi (ubat menurunkan tekanan darah tinggi) secara kombinasi dua atau tiga jenis ubat juga turut boleh menyebabkan atau meningkatkan risiko Postural Hypotension ini berlaku.

oleh itu jika seseorang individu itu kerap mengalami keadaan Postural hypotension ini apabila bertukar posisi daripada baring atau duduk kepada berdiri namun tidak mengambil sebarang ubat-ubatan, elok kiranya pergi berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Bagi individu yang ada mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan atau menambah risiko kesan Postural Hypotension ini seperti kombinasi ubat untuk rawatan darah tinggi, ELAKKAN untuk berubah posisi daripada berbaring atau duduk kepada posisi berdiri secara laju atau mengejut. Bangunlah secara perlahan-lahan.

Bangun dengan melutut dahulu kemudian perlahan-lahan berdiri separuh kemudian barulah berdiri penuh.

Amalan seperti ini boleh mengelakkan daripada terjadinya Postural Hypotension.

Saya berikan sedikit nasihat kepada pakcik tu, dan sekarang setiap kali selepas solat saya pasti akan menoleh pandangan kepada pakcik itu.

Ternyata beliau mengikut nasihat saya dan berjaya elak situasi Postural Hypotension daripada berlaku.

Ingat !!….
Bagi individu yang telah berumur dan makan ubat-ubatan seperti ubat untuk rawatan tekanan darah tinggi :-
“Elakkan berdiri secara mengejut…
Slow Slow ok pakcik/makcik”

Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here