Bull’s Neck : Bagaimana Difteria Membunuh

0
1019
views
1995
Dr.??
This child with diphtheria presented with a characteristic swollen neck, sometimes referred to as “bull neck”.
Diphtheria is an acute bacterial disease involving primarily the tonsils, pharynx, larynx, nose, skin, and at times other mucous membranes. The mucosal lesion is marked by a patch or patches of an adherent grayish membrane with a surrounding inflammation.

Ini adalah salah satu gejala penyakit Diphteria, yang dinamakan Bull’s Neck. Ia dinamakan sedemikian kerana gejala ini menyerupai leher seekor lembu sapi. Lazimnya, apabila gejala ini muncul, ia merupakan gejala lewat (late sign). Ia terjadi apabila kuman Corynebacterium Diphteria sudah membiak dengan banyaknya di ruang tekak penghidap. Kuman-kuman ini merembeskan Diphteria Toxin, sejenis bahan toksin yang sangat berbahaya. Hanya 1 microgram sahaja diperlukan untuk membunuh seorang bayi seberat 10 kilogram.

Diphtheria Toxin ini, akan menyerang sel-sel tubuh badan manusia. Akibatnya sel-sel ini tidak boleh menghasilkan protein, seterusnya akan mati (necrosis). Sel yang mati (necrosis) mencetuskan proses keradangan (inflammation). Keradangan, membawa kepada bengkak dan edema (pengumpulan air) di kawasan yang terlibat. Ia juga menyebabkan kelenjar-kelenjar limfa berdekatan, membengkak. Dalam kes serangan diphtheria, kawasan yang terdekat sekali terlibat adalah kawasan leher dan atas bahu. Kerana itulah, kawasan tersebut membengkak dahulu, menjadi “Bull’s Neck”.

Kita pasti rasa kasihan, melihat seksanya bayi yang menderita dengan Bull’s Neck. Sebenarnya, apa yang dialami oleh bayi ini, adalah jauh lebih berat dari mata kita yang memandangnya. Cuba kita bayangkan, bengkak yang serupa, namun berlaku di BAHAGIAN DALAM tubuh bayi. Ya, bengkak yang serupa akan menghimpit salur pernafasan (trachea) bayi, menyebabkannya sesak nafas. Ini, ditambah lagi dengan kewujudan pseudomembrane, iaitu selaput putih yang terdiri daripada sel-sel mati, menutupi kerongkong bayi.

Kerana inilah, penyakit diphtheria ini dinamakan “The Strangling Angel”. Iaitu seolah-olah ada sesuatu yang sedang mencekik bayi.

Tempoh masa yang diambil untuk kuman Corynebacterium Diphteria membiak sejurus selepas menjangkiti sehingga ke tahap ini, hanyalah sekitar 2 ke 3 hari sahaja. Pada tempoh ini, jika bayi tersebut dibawa ke hospital segera, para doktor akan melakukan beberapa perkara bagi menyelamatkan nyawa bayi.

Yang pertama, para doktor akan melakukan apa yang dipanggil sebagai “secure the airway”. Prosedur ini dinamakan intubasi (intubation). Bayi ini akan diberikan ubat bius, dan seterusnya tiub pernafasan akan dimasukkan melalui mulut, kerongkong, terus ke salur pernafasan di paru-paru bayi. Prosedur ini adalah berkaliganda lebih susah berbanding pesakit lain, kerana salur trakea bayi yang menghidap diphtheria ini sudah tentu lebih sempit dan dipenuhi pseudomembrane. Bahkan, doktor pakar bius yang berpengalaman bertahun-tahun melakukan intubasi pun, belum tentu berjaya melakukannya. Sudahlah bayi, diphtheria pula.

Perlu kita ingat, kes-kes dan kematian diphtheria adalah jarang, jarang berlaku. Kita cuma ada satu kematian pada tahun 2014 dan 2015, berbanding lima kematian tahun ini setakat Jun. Bukan semua doktor ada pengalaman merawat pesakit diphtheria, apatah lagi berpeluang melakukan intubasi, apatah lagi berjaya.

Apa yang akan dibuat jika doktor gagal melakukan intubasi? Doktor akan terpaksa melakukan prosedur yang dinamakan tracheostomi atau cricothyrotomy. Iaitu sebilah pisau akan ditusuk betul-betul atas sedikit dari halkum bayi, agar menembusi sehingga ke ruang pernafasan. Tiub pernafasan, akan disambung secara langsung, melalui lubang yang terhasil dari tusukan ini.

Hanya setelah intubasi dilakukan, barulah tiub pernafasan ini akan disambung ke mesin bantuan pernafasan (ventilator) yang akan menolong bayi ini bernafas.

Namun, prosedur-prosedur yang kita buat ini, hanyalah sekadar untuk MEMBELI MASA. Membeli masa, untuk apa?

Perkara kedua yang doktor akan lakukan, adalah memberi sejenis ubat yang dinamakan DIPHTHERIA ANTITOXIN. Ianya berfungsi persis antivenom (penawar bisa ular). Hanya ubat antitoxin ini sahaja, yang mampu meneutralkan toxin yang dirembes oleh kuman Corynaebacterium Diphtheria ini.

Namun, ubat antitoxin ini bukanlah ubat yang mudah diperolehi. Ianya berharga RM20,000 untuk satu course. Malahan pada ketika anda membaca artikel ini, vial antitoxin ini sedang dikejarkan dari Kedah ke Johor kerana terdapat sebuah kes baru, jangkitan diphtheria di sana.

Ianya adalah perlumbaan. Seberapa cepatnya antitoxin diberikan, versus secepat mana toksin diphtheria ini sedang menyerang tubuh badan bayi kecil tersebut.

Kita sedang membeli masa, agar antitoxin dapat segera diberikan.
Apa yang berlaku sekiranya diphtheria antitoxin lambat atau tidak diberikan?

Toksin dari kuman dipththeria akan semakin merebak, dari kawasan leher dan bahu bayi, semakin ke bawah. Organ pertama yang akan diserang, adalah organ JANTUNG. Otot jantung yang diserang oleh toksin ini, akan mati (necrotize) sedikit demi sedikit. Hinggalah akhirnya, bayi tersebut meninggal dunia akibat komplikasi kegagalan jantung, akibat toksin dari kuman Corynebacterium Diptheria.

Bayi yang memiliki imunisasi terhadap diphtheria, tetap berpotensi untuk dijangkiti kuman ini. Namun kebarangkalian untuk terjadinya komplikasi, adalah lebih rendah berbanding bayi yang tidak divaksin. Ini kerana, tubuh badan bayi yang memiliki imunisasi, sudah mengenali kuman Corynebacterium Diphtheria. Sebaik sahaja dijangkiti, tubuh badan bayi ini sudah terus menghasilkan antibodi dan memory cell yang ada terus mengaktifkan sistem pertahanan badan untuk membunuh kuman ini, sebelum sempat kuman ini menghasilkan toksin dalam jumlah yang tinggi mahupun lethal dose.

Berbanding bayi yang tidak memiliki imunisasi, akan mengambil lebih masa untuk menghasilkan antibodi, yang mana tempoh masa itu mencukupi untuk Corynebacterium Diphtheria membiak dan menghasilkan toksin, sekaligus membawa kepada fenomena di atas.

Vaksin, adalah langkah pencegahan yang mudah, selamat, berkesan – dibandingkan dengan rawatan yang ada sekiranya nauzubillah ditakdirkan Diphtheria menyapa. Sila elakkan memandang rendah penyakit yang boleh meragut nyawa ini.

Artikel ini bukannya untuk menakut-nakutkan. Tapi ianya hanya sekadar menceritakan, apa yang sebenarnya terjadi.
Ianya realiti.

Ingat, diptheria boleh dicegah. Hanya jika kita berikhtiar dengan cara yang betul.

Sumber gambar “Bull’s Neck” diperolehi dari arkib Wikimedia.

***

Dr. Mohd Syamirulah Rahim
Pegawai Perubatan
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
http://fb.com/medicalmythbustersmalaysia
Follow page kami di FB untuk mendapatkan maklumat-maklumat kesihatan yang sahih, tepat dan benar dari ahli-ahli perubatan yang bertauliah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here