DIET, DIABETES, dan RAMADAN.

0
135
views

Ramai beriltizam, tibanya bulan Ramadan berat mahu turun. Gula darah dikawal baik. Kolesterol semakin cantik.

Namun, hakikatnya apabila tiba Syawal, wad akan kembali sesak dengan kes diabetis yang tidak terkawal, tekanan darah mencanak naiknya dan pelbagai simptom kesihatan yang lain juga.

Makan di bulan Ramadan tidak ada beza dengan makan semasa bulan biasa. Yang berbeza hanya masa dan ketika sahaja untuk ambil ubat dan dietnya. Hakikatnya, berpuasa di siang hari umpama tempoh berpuasanya ketika kita tidur di malam hari. Bukankah keduanya kita tidak makan dengan sewenangnya sepanjang tempoh itu.

Sebagai contoh hari biasa, makan malam jam 6.30 malam. Sarapan keesokan harinya, jam 8.00pagi.

Bulan Ramadan, sahur jam 5.00pagi, buka puasa jam 7.30 malam.

Keduanya mempunyai tempoh lebih kurang jam 13-14jam tempoh tanpa makan.

Ketika berpuasa, sarapan pagi kebiasaannya kita jadikan Iftar atau berbuka puasa. Makan moreh atau selepas terawikh kita jadikan makan tengah hari. Dan sahur dijadikan makan malam.

Pesakit diabetis terutamanya harus memastikan makanan diambil tiga kali sehari bagi memastikan simpanan glikogen atau gula tubuh sentiasa cukup untuk digunakan semasa berpuasa. Tukarkan sahaja waktu makan kebiasaan seperti di atas.
Lambatkan waktu bersahur. Tetapi tidak meninggalkannya. Mengambil sahur awal akan menyebabkan tempoh berpuasa atau tidak makan lebih lama lagi. Ini akan menyebabkan badan kekurangan gula darah dengan lebih panjang. Dikhuatiri gula darah menjadi rendah sebelum tiba tengah hari lagi.

Makan tiga kali sehari, namun porsi hidangan masih terkawal seperti biasa.

Jumlah karbohidrat atau kanji masih perlu dijaga. Ambil sekurangnya secawan setengah nasi atau mee atau kuew tiaw, atau tiga keping roti untuk setiap kali waktu makan.

Bermaksud, nasi diambil secawan setengah ketika berbuka, roti tiga keping selepas terawikh dan nasi secawan setengah kembali semasa sahur.

Ini hanyalah contoh. Sekiranya mahu makan kuewtiaw untuk ketiga-tiga waktu makan pun boleh. Silakan. Atau mahu ambil Roti John selepas terawikh juga boleh. Asalkan ada makanan berkanji. Elakkan kuih-muih manis dan tinggi gula. Ia akan meningkatkan gula darah pesakit diabetis.

Karbohidrat itu adalah gula kompleks yang akan diuraikan menjadi gula ringkas untuk tubuh gunakan sebagai tenaga. Maka, pengambilan gula ringkas daripada makanan dan minuman tidak perlu sebetulnya. Cukup dengan mengambil nasi. Namun sekiranya diambil dalam jumlah yang besar, gula darah pasti akan naik dengan tinggi.

Bagi pesakit diabetis ,pengambilan minuman manis yang banyak semasa berbuka dan sahur contohnya akan menyebabkan gula darah semakin tinggi dan tidak terkawal. Pilih minuman tanpa gula sebagai contoh, teh kosong tanpa gula. Air kelapa tanpa gula. Atau jus buah segar tanpa gula.

Pesakit kencing manis boleh mengambil buah dua hidangan sehari. Maka, buah boleh diambil dalam bentuk jus tanpa gula. Sebagai contoh, sebiji epal dijadikan segelas jus untuk berbuka. Namun, sekiranya sudah ambil tamar semasa berbuka, jus buah tadi tidak digalakkan kerana akan meningkatkan gula darah nantinya.

Sekiranya mahu ambil juga jus buah tadi, ambil sahaja tamar sebiji sahaja semasa berbuka. Dan bakinya diambil sebiji semasa sahur pula. Cukup dua hidangan buah sehari.

Mengambil air ‘infused water’ juga boleh bagi mengurangkan air manis. Rendam hirisan buah epal atau lemon atau oren atau tembikai atau apa saja buah di dalam air kosong pada malam harinya. Bolehlah diambil sebagai minuman berbuka puasa.

Menu kuih, sekiranya mahu ambil, pilihlah sepotong sahaja kuih yang tidak tinggi kandungan gulanya. Elakkan makan berlebih-lebihan ketika berbuka.

Disarankan ambil kurma dan minum air segelas dahulu semasa berbuka. Dan jika perlu ambil ubat Diabetis , makan dahulu ubat. Solat maghrib dan barulah makan nasi kemudiannya.

Berikan tempoh bertenang pada perut dan nafsu lapar yang menggila. InsyAllah jumlah makanan yang diambil akan lebih terkawal berbanding jika terus makan dengan banyaknya sebaik azan Maghrib berkumandang.

Pastikan setiap hidangan ada sayur, lauk pauknya. Sayur tinggi serat dan dapat membantu perut kenyang dengan lebih lama.

Makan dengan seimbang membantu makanan dihadam dengan lebih perlahan dan mengekalkan gula darah pada aras yang lebih stabil berbanding makan makanan berkanji sahaja seperti roti kosong cicah air.

Kurangkan lauk pauk yang terlampau berminyak dan berlemak. Sekiranya satu hidangan sudah dimasak berlemak, satu hidangan lagi biarlah rendah lemak.
Sebagai contoh, sup sayur bersama ayam percik.
Atau tomyam campur bersama sayur kailan goreng ikan masin.

Sekiranya tiada pilihan terpaksa mengambil masakan bersantan, ambil isinya sahaja. Kuahnya pilih kuah sup sayur tadi yang kurang lemaknya atau kuah masakan lain yang kurang lemaknya.

Perbanyakkan minum air kosong sepanjang tempoh berbuka hingga ke sahur. Setiap kali ke tandas, gantikan air yang hilang dengan minum air.

Sekiranya mendapat simptom keletihan yang teramat di siang hari, periksa dahulu gula darah sebelum berbuka kerana ada tikanya gula darah yang tinggi juga memberi kesan keletihan kerana gula tidak dapat digunakan oleh tubuh dek insulin tubuh yang tidak mencukupi.

Sekiranya keletihan dan gula darah di bawah bacaan 4.0mmol/L, dan waktu berbuka masih lama, bukalah puasa sekiranya sudah mendapat simptom lain seperti ketar, berpeluh, pening dan hilang fokus.

Buka puasa dengan meminum air manis dengan kandungan sebanyak sesudu besar gula pasir. Dan kemudian makan makanan berat supaya gula darah kembali stabil.

Periksa kembali insulin dan ubat yang diambil adakah melebihi dos yang diberi. Atau pesakit kurang mengambil karbohidrat di malam hari atau tidak bersahur.
Ini akan memberi kesan kepada pengawalan gula darah di siang hari.

Pesakit diabetes yang menerima rawatan ubat atau insulin perlu sentiasa peka dengan simptom hipoglisemia. Bincangkan tentang dos ubat dan insulin anda dengan ahli farmasi. Perubahan dos perlu disesuaikan dengan tahap penyakit dan tahap kawalan gula dalam darah.

Jadikan bulan berpuasa bulan mengumpul maghfirah.
Istiqamah dalam menjaga nafsu dan diet sepertimana bulan-bulan lainnya.
Didik nafsu makan agar mendapat nikmat sihat yang dicari.

Selamat Menyambut Ramadan. Didoakan dipermudahkan urusan dan mendapat keberkatan dalam semua urusan.

Ramadan Kareem

Ruqayyah Muhd
Dietitian Anda
#kakakdiet
#medicalmythbuster

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here