“Doktor, tangan saya bengkok!”

0
890
views

“Tak apa, doktor. Kalau masuk gambar muka saya pun lagi bagus. Saya tak kisah, bahkan lagi saya suka. Saya tak nak kalau tragedi yang sama berulang pada orang lain!”

Dua. Kosong. Lima. Lapan

Nombor giliran disebut mesin giliran. Maka, melangkah lah masuk seorang lelaki pertengahan 40an ke dalam bilik saya.

Dr. A: Salam alaikum En. A. Ya, encik. Ada apa hajat ke mari? (soal ku seperti biasa berseloroh, mahu membuka bicara)

En. A: Eh, doktor pula yang beri salam. Sepatutnya saya yang beri salam. Malu pula saya. Begini doktor… Saya ni sebenarnya nak minta tolong doktor untuk tulis pengesahan ketidakupayaan saya ni.

Dr. A: Aik? Kenapa pula Encik tak upaya? Berjalan OK sahaja. Bercakap pun OK. Mendengar pun OK. Apa masalahnya?

En. A: Saya sebenarnya ada masalah tangan kiri saya. Dulu², saya pernah jatuh dari ketinggian 10 kaki. Bukan sahaja jatuh, ditimpa kayu yang sedang saya bertukang pula tu!

(Saya khusyuk mendengar cerita beliau sambil buat² terkejut, sepertinya tak pernah jumpa kes sebegini, walhal ianya agak kerap juga dijumpai)

En. A: Lepas jatuh tu, saya sakit sangat². Jadi, ikut lah orang lain kata jumpa dengan bomoh. Tak pula satu pun saya dengar suruh saya ke hospital.

Dr. A: Ooo, ye ke? Kenapa pula tak ke hospital masa sakit sangat² tu?

En. A: Bomoh kata tak perlu jumpa doktor. Semuanya bereh dengan rawatan dia, katanya. Saya pun percaya lah bermati²an.

Dr. A: dah tu, lepas setahun ni, baru sekarang nak jumpa doktor ke?

En. A: Saya ingatkan lambat laun, OK lah tu. Tapi dah lebih setahun, ‘bellok’ (bahasa Terengganu untuk bengkok) tangan saya ni. Nak genggam pun payah. Nak pegang cucu pun tak boleh, takut jatuh. (Nadanya mulai sebak)

En. A: Nak kerja apatah lagi. Kalau dahulu saya bertukang nak mencari nafkah keluarga, sekarang tak lagi. Bertukang tu, mimpi saja lah.. Saya hanya mampu minta tolong dari JKKK kampung saya, kadang² tu sampai tahap terpaksa mengemis. (air mata mulai bercucuran membasahi pipi nya yang berkedut dibaham usia)

En. A: Itu yang saya nak minta sokongan dari doktor ni. (sambil mengesat kesan air mata beliau)

Dr. A: Macam ni, encik. Saya tak boleh tandatangan surat OKU ini. Tapi saya boleh rujuk Encik pada doktor pakar tulang untuk diperiksa lah. Mana lah tahu, ada peluang nak kembalikan fungsi tangan seperti normal..

En. A: Baiklah, doktor. Apa² pun, asalkan bermanfaat untuk saya.

Dr. A: Encik, saya nak kongsikan kisah ini dengan pembaca saya di Internet. Saya nak ambil gambar boleh? Tapi, saya tutup lah muka Encik.

En. A: Tak apa, doktor. Kalau masuk gambar muka saya pun lagi bagus. Saya tak kisah, bahkan lagi saya suka. Saya tak nak kalau tragedi yang sama berulang pada orang lain!

Saya masih menunggu filem x-ray En. A untuk diperiksa sebelum dirujuk ke Jabatan Ortopedik.

Pengajarannya,

Janganlah mendengar nasihat orang yang bukan ‘ahli’ (pakar) dalam sesuatu bidang apabila melibatkan bidang spesifik seperti perubatan dan agama. Sepatutnya tulang yang patah diperbetulkan sebelum ianya bercantum dalam keadaan yang pelik (deformed). Namun begitu, tulang Encik A sudah pun bercantum dengan cantuman yang salah.

Diharapkan agar pembaca sekalian tidak tertipu dengan ‘doktor segera’ (instant doctors).

This slideshow requires JavaScript.

Faaqiru ilaLlah,
Dr Ahmed Bin Kamarulzaman
Pegawai Perubatan dan Kesihatan
Medical Mythbusters Malaysia (M3)

#DrAhmed
#M3
#MasyarakatKenaTipu
#PatahTulangBellok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here