Masih Mahu Merokok?

0
34
views

Datang seorang pesakitnya bersama isterinya ke Klinik Diet. Pesakit datang bersama tiub pemakanan yang baru dipasang di klinik onkologi.

Usai membaca fail pesakit, saya memanggil mereka masuk untuk memberi kaunseling diet.
Pesakit merupakan seorang pengurus ladang.

Saya perhatikan wajah pesakit sambil bertanya khabar. Mata kirinya sudah tertutup rapat. Hanya mata kanan yang memandang saya dengan khusyuk. Di lehernya ada benjolan yang besar yang telah menyempitkan saluran makannya. Pipi kirinya nampak bengkak sebelah. Umpana ditumbuk orang. Tubuhnya kurus. Terlihat ototnya yang pejal mulai menyusut.

Pesakit melangkah perlahan ke dalam bilik saya. Saya ambil berat dan tingginya. Pesakit sudah hilang 10kg berat dalam masa sebulan. Sejak sakit, sudah 30kg beratnya turun dalam tempoh 4bulan.

” Mula-mula, tak boleh kunyah dan telan makanan keras. Ingatkan kena beguk (goiter). Makan bubur saja. Itu pun bubur kosong. Kemudian makin lama benjolan makin besar dan sakit. Nak telan air liur pun sakit. Bercakap apatah lagi. ” cerita isterinya lirih.

” Bawa ke klinik, doktor suruh ke hospital daerah. Doktor rujuk pula ke hospital besar. Dua minggu ni abang hanya makan nestum dan susu. Itupun susu pekat saja guna. Seminggu ni tak boleh langsung minum air. Dulu boleh juga pakai straw. Jadi doktor kata, kena masuk tiub untuk masuk susu.” sambungnya lagi.

” Tuan ni memang kena bagi susu dengan tiub dah ni. Sebab dah tak boleh nak telan hatta air pun. Jadi saya buatkan regim susu untuk diberikan setiap 4jam ya.” jelas saya.

“Susu saya sarankan ni adalah susu kita panggil formula khas. Ia merupakan formula pemakanan lengkap. Maknanya kalau pakai susu ni pun, kita umpama ambil nasi dan lauk pauk semua. Cukup tenaga dan protein serta vitaminnya. Tapi kena ambil dengan regim yang betul yang kita akan kirakan. Ambil sedikit pun tapi tenaganya tinggi berbanding susu lain. Jangan ingat bagi susu tak kenyang. InsyAllah cukup. Dan memang kenyang. ”

” Bila tak makan dengan seimbang dan cukup, berat badan akan mula menyusut. Badan perlukan tenaga untuk berfungsi seperti bernafas , bergerak dan beroperasi. Jadi badan akan mula guna otot dan lemak simpanan. Itu yang sebabkan berat makin susut.” jelas saya panjang lebar.

” Mahal ke susu ni? Tak boleh ka kisar saja nasi atau bagi susu biasa saja?” tanya isteri pesakit lagi.

“Bukan apa. Suami saya dah tak kerja. Mana nak dapat duit beli susu mahal begini. Tak beli, badannya dah makin susut. Kesian saya.”

” Dia ni, suami yang baik. Kalau anak nak makan apa pun, dia akan carikan juga sampai dapat. Kalau saya mengidam masa mengandung dulu, selagi tak dapat, dia tak berhenti cari. Bila jadi begini, saya akan cuba juga usahakan. Kesian abang dah lama tak makan kenyang. Kenyang minum air saja.” sambil mengelap air mata yang tumpah.

Suaminya yang tidak boleh bercakap lagi, hanya tunduk. Airmatanya meleleh perlahan dan dikesat dengan belakang tangannya.

” Bila beri makanan guna tiub ni, kalau guna saiz yang besar boleh blend makanan masuk. Cumanya, zat yang masuk terlampau sedikit. Makanan perlu dimasak betul, kisar sampai hancur, ditapis dan kemudian baru boleh masuk tiub. Itu pun, kalori yang diperolehi terlampau sedikit. Risiko pula untuk tiub tersumbat di dalam menyebabkan tak boleh beri makanan lagi.” terang saya.

“Jika nak beri susu biasa boleh juga, cumanya hanya gunakan susu penuh krim. Bukan susu atau krimer pekat manis. Kandungan tenaga dan protein susu penuh krim lebih bagus berbanding krimer pekat manis. sukatannya saya kena kira dahulu. Sebab nak cukupkan keperluan setiap hari. Namun biasanya perlu ambil dalam jumlah yang agak banyak kerana tenaganya lebih rendah berbanding susu khas tadi. ”

” Susu macam An**n* boleh tak beri?” tanya isteri pesakit lagi.

” Boleh nak beri. Namun kalorinya lebih rendah berbanding susu penuh krim. Kandungan lemaknya juga sedikit. Tak sesuai untuk pesakit yang hanya bergantung kepada pemakanan melalui tiub. Apatah lagi yang memerlukan pengambilan tenaga yang tinggi macam tuan.”
Jelas saya.

“Kita cubalah dulu susu khas ni. Saya beri dulu satu tin, balik dan cuba. Kalau okay, boleh teruskan. Atau pun cuba pakai susu tepung ikut rejim saya beri. Try and error dulu. Dua minggu saya bagi temujanji kita tengok balik macamana Tuan boleh atau tidak ambil susu ini. Boleh ke? ” tanya saya kepada pesakit.

” Boleh puan. Terima kasih banyaklah tolong kami. Tak tahulah apa amalan kami, tapi banyak sangat orang tolong kami ni. Doktor misi pun semuanya baik sangat. Bagi nasihat macam-macam.Tolong itu ini. Sebenarnya saya pun masih nanar. Rasa hilang dan lemah sangat. Tepu otak.”

“Saya ingatkan datang nak periksa saja kenapa bengkak tak surut-surut. Kena tahan, buat pemeriksaan itu ini. Bila doktor bagitau ada kanser mulut dan dah merebak ke paru-paru, rasa langit tu runtuh.” dengan sedu sedan beliau bercerita.

Saya diam. Tak mampu berkata apa. Dikhuatiri empangan saya turut pecah dan melimpah juga.

“itulah, saya dah kata. Berhenti merokok. Berhenti hisap dan kunyah tembakau. Abang tak nak dengar! Sakit begini sapa yang tanggung?” isterinya mengongoi pilu.

” Puan, Allah beri ujian kerana Dia sayang. Allah nak tengok takat mana Tuan puan redha dan sabar dengan ujian. Walaupun Allah beri ujian, tapi bukankah Dia datangkan orang yang baik-baik untuk bantu kalian? Allah mudahkan urusan. Ini tandanya Allah tak pernah tinggalkan tuan puan. Insya Allah kami akan cuba bantu mana yang dapat.” Saya cuba memujuk pesakit meskipun saya sendiri sangat terkesan dengan kisah mereka.

Kesilapan yang lalu, usah dikenang. Teruskan mencari dan melangkah ke depan untuk meneruskan perjuangan yang baru bermula. Syurga itukan mahal nilainya. Dan hanya yang sabar dan kekal beriman dengan Qadarnya akan melangkah menempah tempat di sana.

Ruqayyah Muhd
#medicalmythbuster
#kakakdiet

No automatic alt text available.
Image may contain: one or more people and text

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here