Panduan Membuat Aduan Kesan Sampingan Produk Kosmetik

0
811
views

Kami di Medical Mythbusters Malaysia (M3) menyambut baik kenyataan media oleh Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) Dato Dr. Noorhisham Abdullah yang menegaskan keprihatinan Kementerian Kesihatan Malaysia ke atas memastikan keselamatan rakyat daripada ancaman produk-produk kosmetik yang membahayakan kesihatan.

Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada KKM sebelum produk tersebut boleh dikilang, diimpot, dibekal atau dijual di pasaran Malaysia. Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Director-General of Health Malaysia

Perniagaan produk kosmetik dilihat sebagai jalan mudah ke arah menjana keuntungan dengan memanipulasikan keinginan fitrah terhadap kecantikan dan kejelitaan. Lebih memburukkan adalah apabila perniagaan ini bermodelkan Multi Level Marketing (MLM), penggunaan ejen/reseller, mahupun perniagaan berkonsepkan Dropship, bertujuan memaksimumkan promosi dan jualan (marketing and sales). Namun dalam masa yang sama, sekaligus mengabaikan aspek kebertanggungjawaban penjual terhadap produk-produk mereka sendiri.

Begitu juga perniagaan model baru menggunakan khidmat OEM (Original Equipment Manufacturing) membolehkan sesiapa sahaja mengeluarkan produk kosmetik berjenama sendiri, tanpa perlu mengambil pusing berkenaan aspek kualiti dan keselamatan, sebaliknya memfokus kepada kos terendah untuk keuntungan maksima.

Terdapat juga pihak yang memborong produk-produk kosmetik secara pukal dari negara-negara tertentu dengan harga yang murah, tanpa mengetahui status keselamatan dan kesan sampingan yang ada, yang seterusnya dipaketkan dalam kuantiti yang kecil untuk dijual ke masyarakat kita.

Kedua-dua teknik ini ada didedahkan oleh laman akhbar NST baru-baru ini, termasuklah cabaran yang dihadapi oleh pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber gambar dari NST. Klik untuk berita penuh.

Bukan sedikit pengguna yang mendapat kesan sampingan dari produk kosmetik mereka, namun gagal mendapat penjelasan sewajarnya dari pengedar atau penjual. Mangsa-mangsa ini tampil menderita mendapatkan rawatan dari pakar-pakar bertauliah di hospital, sedangkan pengusaha dan penjual produk kosmetik berbahaya ini bersenang lenang hasil dari keuntungan dan komisyen yang dikaut.

Manakala terdapat pihak yang mudah memberi alasan bahawa kesan sampingan tersebut adalah “healing crisis”, sebuah istilah yang direkacipta bagi menutup kelemahan pada produk yang ada. Ada juga yang tidak segan silu menyalahkan pula pihak kesihatan kerana gagal merawat pesakit yang mengalami kesan sampingan hasil dari produk mereka sendiri.

Ehhhh. Ini reaksi normal Cik Bedah oooiiii. Kebanyakkan yang pakai produk Cik Qu dia akan tumbuh jerawat banyak-banyak dulu. Lepas 2 minggu pakai barulah jerawat tu hilang. Inilah namanya Healing Crisis ataupun dalam bahasa melayunya krisis penyembuhan. Dia nak keluarkan segala toksin dalam badan tu. Lepas keluar semua toksin dalam badan tu barulah badan akan jadi sihat. Root of Science - BETUL KE WUJUD ‘HEALING CRISIS’ DALAM PENGAMBILAN PRODUK KESIHATAN??

Sehubungan dengan itu, kami di Medical Mythbusters Malaysia (M3), seiring dengan sokongan ke atas KKM, menggesa mana-mana pengguna yang mengalami masalah kesihatan akibat dari penggunaan kosmetik seperti ini, agar TAMPIL ke hadapan untuk membuat laporan agar produk berkaitan disiasat.

Semakin banyak laporan, menandakan penularan produk tersebut yang tinggi sekaligus memberi penegasan kepada KKM untuk bertindak menghalang produk tersebut dari terus dijual secara berleluasa, serta memberi amaran kepada orang awam yang lain untuk menjauhinya.

LANGKAH PERTAMA : EMAIL

Langkah termudah adalah melalui emel. Badan utama yang menyelia kesan sampingan produk kosmetik adalah NPRA (National Pharmaceutical Regulation Agency), Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

1. Muat turun borang ini dan lengkapkan : Borang NPRA 420.

2. Sediakan emel, dengan maklumat di bawah :

SUBJECT : Laporan Kesan Sampingan Dari Produk Kosmetik *JENAMA*
CONTENT :

Assalamualaikum / Salam Sejahtera.

Saya, *NAMA* bernombor kad pengenalan *IC* adalah seorang rakyat malaysia yang beralamat di *ALAMAT*

Saya mula menggunakan produk *JENAMA* sejak *TARIKH DIGUNAKAN* sehingga *TARIKH AKHIR/SEMASA*. Saya menggunakan produk tersebut secara *KEKERAPAN*

Sejak dari menggunakan produk tersebut, saya mengalami *GEJALA*. Saya was-was dari aspek keselamatan dan risaukan kesan daripada penggunaan produk tersebut.

Saya mendapatkan produk tersebut dari *NAMA PENJUAL*, *MAKLUMAT PENJUAL – NO TELEFON, ALAMAT, NO AKAUN BANK, WEBSITE/FB/Insta etc*

Saya berharap pihak NPRA KKM dengan kerjasama pihak berwajib (PDRM, SKMM dll) dapat menjalankan siasatan sewajarnya dan memastikan pengusaha dan penjual produk ini, sekiranya benar berbahaya, diambil tindakan dan dihalang dari membahayakan orang lain.

Sekian, terima kasih.

3. Sila attach sekali dengan emel, borang yang anda telah muat turun dan isikan tadi.

4. Sila attach sekali dengan emel, gambar produk terbabit termasuklah packaging/kotak/bungkusan, nama, nama syarikat, no pendaftaran (jika ada), dan juga gambar kesan sampingan yang anda perolehi dari penggunaan produk kosmetik tersebut.
Anda juga boleh sertakan bukti-bukti lain seperti maklumat penjual, dakwaan-dakwaan yang dibuat penjual ketika menjual produk tersebut kepada anda, serta reaksi penjual jika anda ada memaklumkan kesan sampingan tersebut kepadanya.

5. Hantarkan emel tersebut ke alamat : kosmetik@npra.gov.my

Simpan salinan emel tersebut, atau dicetak untuk dijadikan bukti bertulis. Anda turut boleh memberikan sesalinan emel ini kepada penjual produk berkenaan, agar beliau mengetahui bahawa produk yang dijualnya adalah tidak selamat dan beliau sendiri akan disiasat dan dipertanggungjawabkan.

LANGKAH KEDUA : iSPAAA (Integrated Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam)

  1. Layari laman web ini : iSPAAA
  2. Klik pada “Maklumbalas Baharu
  3. Pada ruangan “Jenis“, pilih “Aduan“.
  4. Pada ruangan “Tajuk“, masukkan : Laporan Kesan Sampingan Dari Produk Kosmetik <JENAMA>
  5. Pada ruangan butiran, masukkan petikan emel seperti di langkah pertama diatas.
  6. Pada ruangan “Agensi“, pilih Kementerian Kesihatan > Bahagian Di Bawah Kementerian > Farmasi > JKN Negeri Tempat Tinggal Anda.
  7. Klik pada “Lampiran“, dan muat naik gambar produk terbabit termasuklah packaging/kotak/bungkusan, nama, nama syarikat, no pendaftaran (jika ada), dan juga gambar kesan sampingan yang anda perolehi dari penggunaan produk kosmetik tersebut.
  8. Isikan maklumat peribadi anda di bahagian bawah, seterusnya klik butang “Hantar“.

Kelebihan sistem iSPAAA ini adalah setiap aduan anda wajib disiasat dan anda turut boleh menyemak status siasatan dan maklumbalas aduan anda di laman web tersebut.

LANGKAH TAMBAHAN

1. Jika anda masih mempunyai sampel atau baki dari produk tersebut, anda boleh bungkuskannya dengan baik menggunakan plastik/bekas bertutup dan seterusnya menghantarnya ke alamat di bawah

Menghantar Sampel Produk Kosmetik
Seksyen Kosmetik,
Pusat Pasca Pendaftaran Produk dan Kawalan Kosmetik,
Agensi Regulatori Farmasi Negara,
Lot 36, Jalan Universiti,
46730 Petaling Jaya,
Selangor

Sila sertakan sekali borang di atas yang telah dicetak.

2. Anda seterusnya boleh membawa salinan emel, borang, dan gambar-gambar tersebut ke mana-mana balai polis terdekat untuk membuat laporan polis. Maklumkan bahawa anda khuatir produk tersebut membahayakan nyawa orang ramai dan mahu siasatan segera dijalankan.

3. Anda turut boleh membawa salinan emel, borang dan gambar tersebut ke Tribunal Tuntutan Pengguna dan mendakwa terdapat representasi palsu dari aspek keselamatan dan standard kualiti produk yang dijual.

4. Anda turut disarankan untuk membawa salinan emel, borang, dan gambar-gambar tersebut ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar pihak terbabit boleh menyiasat identiti penjual dan pengguna seterusnya tindakan boleh diambil bagi mengekang produk yang sama dijual dan orang lain pula menjadi mangsa.

5. Dan akhir sekali, sudah tentu, anda boleh berbincang dengan peguam untuk menimbangkan sekiranya ada langkah-langkah sivil yang boleh diambil oleh anda.

Semoga dengan tindakan yang diambil oleh kita selaku pengguna dapat menggesa pihak berwajib untuk menjalankan penguatkuasaan tegas kepada pihak yang mengambil kesempatan dengan membahayakan nyawa orang yang tidak bersalah demi sebuah keuntungan.

Umum mengetahui, bahawa dalam pelbagai jenis scam, health scams adalah yang paling jijik dan membinasakan kerana pelaku scam jenis ini, mereka tidak peduli apa yang terjadi kepada kesihatan mahupun nyawa mangsa mereka.

Dr. Mohd Syamirulah Rahim,
Medical Mythbusters Malaysia (M3).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here