Pesakit Mental Bukan Untuk Disisih Atau Dikeji

0
374
views

Dalam pengalaman saya, saya pernah diberi peluang merawat seorang pesakit. Kisah pesakit ini sangat menyayat hati dan meninggalkan memori yang mendalam dalam ingatan saya.

Pesakit ini seorang perempuan berusia 40an, telah dipasung di dalam sebuah pondok kecil di belakang rumah keluarga sejak lebih kurang 5 tahun yang lalu.

Berlantaikan papan, beratapkan zink.
Sebelah kaki dipasung pada kayu belian.
Hanya mampu duduk bertinggung di atas kayu tersebut.
Tidak dapat berdiri tegak.
Tidak dapat melihat matahari di luar.
Tiada tilam, tiada bantal, tiada selimut.
Yang pasti, andainya hujan, akan kesejukan.
Sebelah kaki sudah mula membengkak dan nampak kesan jangkitan yang sudah hampir pulih.

Nasib baik dia masih berbaju. Tetapi menurut keluarga, kadang kala dia yang akan membuang bajunya sendiri, mengoyak-ngoyakkannya.

Mungkin sebab itu juga, kenapa ruang kecil itu kosong tanpa apa-apa.

Bau hancing menusuk hidung.
Rambutnya panjang, kusut.
Kuku di jari dan kaki hitam tidak dipotong mungkin bertahun-tahun.

Kami pujuk ibu dan ayah yang telah tua untuk membenarkan kami memeriksa anak perempuan mereka ini.

Proses untuk membuka pasung itu sahaja mengambil masa hampir setengah jam.

Menitik peluh jantan si abang.

Akhirnya, setelah 5 tahun terperuk didalam bilik, perempuan ini berjaya kami angkat keluar untuk melihat sinar matahari.

Langsung tidak mampu berdiri lagi.

Kami mandikan dia, dipotong kuku dan rambut.

Terlihat riak wajah ceria apabila dia dapat menginjakkan kaki ke dalam rumah selepas 5 tahun terasing, kini merasa duduk bersama ibu ayah dan keluarga di bawah bumbung yang sama untuk seketika.

Saya berkongsi kisah ini kerana keadaan yang menyedihkan ini sebenarnya boleh dielakkan dengan rawatan yang betul, pemahaman dan juga sokongan dari keluarga.

Masih ramai yang menganggap penyakit mental sebagai satu penyakit yang keji, patut diasingkan dari masyarakat dan tiada harapan untuk sembuh.

Untunglah kita semua kerana masih sihat dan tidak merasai betapa keliru dan sengsaranya mereka yang diuji dengan penyakit sebegini.

Padahal, penyakit ini sebenarnya tidak memilih tuannya.

Siapa saja boleh terkena, termasuklah saya, anda dan mereka yang kita sayangi.

Jadi janganlah mereka ini disisihkan dan dibiarkan tanpa rawatan yang betul. Hak untuk mendapatkan rawatan itu adalah hak setiap individu.

Sekiranya ada sesiapa di kalangan keluarga anda yang mengalami gangguan emosi dan psikologi, segeralah dapatkan rawatan di mana-mana hospital berdekatan.

Bila sakit, perlu ada usaha untuk sembuh. Tak cuba, kita tak tahu.

#NoHealthWithoutMentalHealth
#PsikiatriHBtu

Dr Adilah Sulaiman
Pakar Psikiatri
Penulis Jemputan M3

Gambar hiasan dari Google.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here