“Saya sudah buat scan 4D, anda bila lagi?”

0
3089
views

Aida tidak sabar menunggu kelahiran anak pertamanya. Dia terbayang dirinya dan suaminya bermain dan memeluk bayinya.

Pada suatu pagi, dia ke klinik untuk pemeriksaan rutin kehamilan. Usia kandungannya 8 bulan. Doktor Hafiz mendapati saiz janin kecil sedikit dan terus merujuknya ke klinik pakar O&G.

Apabila `detailed scan’ dilakukan oleh pakar O&G, didapati janin mengalami kecacatan di bahagian otak. Sebahagian besar otak bayi tersebut tidak terbentuk, dan kemungkinan besar janinnya tidak dapat hidup lama. Alangkah terkejutnya Aida mendengar penerangan doktor pakar.

`Tapi saya dah buat scan 4D doktor. Kenapa scan 4D tak kesan masalah pada bayi saya?’

Jenis-Jenis Scan

 

`Doktor, saya nak scan 4D. Saya tak nak scan yang hitam putih tu’

Ini adalah ungkapan yang sering diajukan oleh ibu hamil kepada saya apabila mereka datang ke klinik untuk antenatal check up. Adakah mereka benar-benar faham beza antara scan `hitam-putih’ (2D) dan scan 3D, 4D dan 5D? Benarkah scan 5D scan yang paling canggih dan terbaik untuk mengesan masalah pada janin?

Scan 2D:

Scan 2D ialah scan yang digunakan sejak tahun 70-han. Lazimnya, pesakit akan mengadu bahawa dia tidak faham apa yang ditunjukkan oleh doktor pada scan 2D. Ini ialah disebabkan scan 2D berupaya untuk menembus ke dalam badan janin dan memperlihatkan organ-organ dalaman. Memang agak sukar untuk orang yang tidak biasa melihat imej 2D untuk memahami scan tersebut.

Scan 2D yang dilakukan oleh doktor klinik biasa (bukan pakar O&G) adalah `growth scan’ dimana doktor hanya akan mengukur saiz kepala janin (BPD & HC), ukurlilit perut janin (AC), ukur panjang tulang peha janin (FL), mengukur air ketuban (AFI) dan melihat posisi uri.

Oleh itu, tidak hairanlah, jika kecacatan pada janin tidak dikesan sewaktu scan itu dilakukan.

Scan 3D dan 4D:

Tidak banyak perbezaan di antara 3D dan 4D, melainkan teknologi yang diguna pakai oleh mesin scan itu. 3D memberi imej yang tidak bergerak (still image) sementara 4D memberi imej yang bergerak (real-time).

Imej 3D dan 4D lazimnya berwarna kekuningan atau kuning-merah jambu. Scan 3D/4D secara umumnya memperlihatkan janin dari segi luaran. Oleh itu nampaklah muka janin, atau kemaluannya. Dan imej 3D/4D mudah difahami oleh pesakit.

Tetapi imej 3D/4D tidak akan memperlihatkan organ dalaman janin. Oleh itu, kecacatan seperti cacat otak, jantung berlubang, usus tersumbat dan buah pinggang bengkak tidak dapat dikesan.

Andaian yang saya sering gunakan ialah membezakan antara scan 2D dan 3D/4D ialah beza antara kamera (DSLR ke, iPhone 7 ke, Oppo ke…) dan Xray. Jika anda mengadu sesak nafas dan sakit dada, dan anda pergi ke hospital, apa perasaan anda jika doktor mengambil gambar dada anda dengan kamera iPhone, dan tidak melakukan xray dada?

Sudah pastinya anda akan mengatakan doktor tersebut tidak betul dan silap-silap gambar doktor itu akan diviralkan di facebook! Kesimpulannya, scan 2D adalah seperti Xray, dan scan 3D/4D adalah seperti kamera iPhone7. Scan 2D jauh lebih berguna daripada scan 3D/4D.

`Detailed Scan’:

Ramai yang menganggap scan 3D/4D adalah detailed scan. Tanggapan ini adalah salah sama sekali. Detailed scan sebenarnya adalah scan 2D yang dilakukan oleh seorang pakar O&G (yang mempunyai latihan khusus) atau sonographer terlatih.

Sewaktu pemeriksaan detailed scan, doktor akan membuat ukuran-ukuran biasa saiz janin. Kemudiannya dia akan memeriksa organ-organ dalaman janin seperti otak, muka, jantung, paru-paru, buah pinggang, usus, tulang belakang dan sebagainya. Dengan cara ini, kecacatan pada organ dalaman janin dapat dikesan.

`Apa gunanya scan 3D/4D/5D?’

Scan 3D/4D/5D adalah lebih untuk kepuasan si ibu dan tidak banyak membantu doktor untuk mengesan kecacatan. Scan ini memberi gambar muka yang comel untuk si ibu simpan di dalam album atau untuk dipaparkan di facebook.

Saya tidak nafikan ada kelebihan scan 3D/4D/5D tetapi tidak ramai doktor (walaupun pakar O&G) yang terlatih untuk menggunakannya. Biasanya hanya doktor pakar fetomaternal (atau maternal fetal medicine) yang terlatih dalam penggunaannya.

‘Kenapa dah buat detailed scan pun doktor masih tidak kesan masalah janin?’

Keberkesanan scan untuk mengesan masalah pada janin bergantung kepada:

  1. Kepakaran doktor/sonographer yang melakukan scan
  2. Kecanggihan mesin ultrasound scan
  3. Saiz badan si ibu mengandung. Kalau si ibu obes, gelombang ultrasound tidak berupaya untuk menembusi lapisan lemak ibu untuk sampai ke janin. Jangan salahkan doktor!
  4. Kedudukan/posisi janin. Kadangkala, janin akan menyorokkan mukanya, tangannya dan sebagainya. Dalam kedudukan janin meniarap, mungkin sukar untuk memeriksa jantungnya. Dalam kedudukan janin terlentang pula, mungkin sukar untuk memeriksa tulang belakang dan buah pinggangnya.
  5. Usia kandungan yang terlalu lewat. Pada usia kandungan melebihi 34 minggu, janin sudah besar dan akan berada dalam keadaan ‘terhimpit’ di dalam rahim. Tulang-tulang janin juga mula mengeras (mineralized) dan menyebabkan gelombang ultrasound payah untuk tembus. Usia kandungan yang paling sesuai ialah antara 18-24 minggu.

Jika pemandu formula 1 Louis Hamilton diberi kereta viva dan disuruh memandu di tengah-tengah Kuala Lumpur, beliau tidak akan dapat sampai ke destinasi dengan cepat. Sama juga dengan doktor pakar yang diberi mesin ultrasound kurang canggih dan melakukan scan pada ibu yang gemuk. Disebaliknya, jika cik siti yang baru dapat lesen memandu diberi kereta F1 Ferarri untuk dipandu di litar sepang pun, sudah tentu tidak laju panduannya.

Scan untuk mengesan Sindrom Downs:

Walaupun mungkin ada petanda-petanda yang dapat dikesan, detailed scan tidak semestinya dapat mengesan janin yang mengalami sindrom Downs. Disebaliknya, scan yang terbaik untuk mengesan sindrom Downs ialah `nuchal translucency’ iaitu scan 2D yang hanya boleh dilakukan antara usia kandungan 11 minggu hingga 14 minggu.

Kesimpulannya, jika anda hanya mampu melakukan satu scan sewaktu hamil, pilihlah untuk detailed scan. Walaupun mahal sedikit, detailed scan ialah scan yang paling berguna untuk mengetahui tentang kesihatan janin. Tidak salah untuk melakukan scan 3D4D, asalkan faham kekurangan yang ada pada scan tersebut.

Dr Anna Liza Roslani
Pakar O&G
Pakar Maternal Fetal Medicine
#MedicalMythbustersMalaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here