Ubat Ajaib VS Ubat Hospital

0
291
views

Di era moden ini, teknologi perubatan semakin membangun. Pelbagai ubat-ubatan baru dihasilkan dan penemuan perubatan baru semakin berkembang. Namun, dengan jangka hayat yang meningkat, di tambah pula taraf kehidupan semakin tinggi dan masyarakat yang kurang pengamalan gaya hidup sihat, penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, strok dan sebagainya semakin meningkat.

Di celah-celah peningkatan penyakit-penyakit kronik ini, ramai golongan tidak bertanggungjawab mempromosikan produk-produk kesihatan mereka. Testimoni yang hebat dan gah sinonim dengan gaya promosi mereka. Ada produk yang mampu menyembuhkan segala jenis penyakit, ada produk yang mampu membuatkan manusia menjadi superman! Ajaib sungguh produk mereka ini.

Bolehkah produk-produk ini dipercayai? Tidak kurang juga pihak penjual mengatakan bahawa ubat-ubat hospital ini bahaya malah doktor sengaja memberikan ubat bagi menahan, bukan menyembuhkan, dek kerana mahu memberikan keuntungan kepada big pharma. Sejauh manakah kebenaran tohmahan ini?

Mari kita kupas dari beberapa aspek, antara produk kesihatan (suplemen) dan ubatan hospital:

1) Kajian VS testimoni

Sinonim dengan kata-kata manis ejen suplemen, testimoni digunakan bagi menarik pelanggan. Kebanyakan suplemen langsung tidak mempunyai kajian untuk produk mereka. Bukti keberkesanan mereka hanya lah dari testimoni. Dan testimoni amat mudah diputarbelitkan bagi menipu pengguna. Hanya testimoni yang baik diambil, testimoni yang buruk disorokkan

Berlainan dengan ubatan hospital, sebelum ianya dikeluarkan untuk penggunaan pesakit, ianya menjalani kajian pelbagai peringkat selama bertahun-tahun. Ini bagi memastikan keberkesanannya adalah benar, bukan kebetulan semata-mata dan bagi melihat apa kesan sampingan ubat-ubat ini, sesuai atau tidak untuk pesakit-pesakit kronik seperti pesakit buah pinggang.

Masih anda mahu percayakan testimoni?

2) Risiko VS kelebihan (Risk VS benefit)

Dalam merawat sesuatu penyakit, doktor akan menimbang antara risiko dan kelebihan rawatan yang diberi. Tiada perkara yang 100% dalam perubatan dan setiap perkara ada kesan sampingan walaupun kecil. Sebagai contoh seorang pesakit datang dengan pendarah dalam otak memerlukan pembedahan. Pembedahan itu sendiri mempunyai risiko-risiko tertentu, tapi jika dibiarkan, darah beku dalam otak itu akan membunuh pesakit. Jadi kelebihan (benefit) rawatan itu mengatasi risiko pembedahan tersebut.

Lain pula bagi produk ajaib, kebanyakannya dimomokkan tidak mempunyai kesan sampingan, kerana ianya datang dari produk semulajadi. Sedangkan air kalau diambil terlalu banyak akan memudaratkan, malah membunuh dalam pesakit buah pinggang. Dan juga, kebanyakan produk ajaib ini langsung tiada kajian yang menunjukkan profil keselamatannya, apa kesan sampingan yang mungkin berlaku dan kesesuaiannya terhadap pelbagai jenis pesakit (pesaki buah pinggang, pesakit kencing manis, pesakit jantung).

Beranikah anda mencuba satu produk yang langsung tiada kajian tentang keselamatannya?

3) Duit VS perkhidmatan kepada pesakit

Tujuan utama penjualan produk -produk kesihatan ini adalah untuk duit. Tidak hairanlah jika kebanyakan produk mereka ini berbentuk MLM. Ejen-ejen diajar kata-kata dan teknik-teknik bagi meyakinkan pengguna, biarlah tiada bukti kajian pun. Jika ditanya mana kajian, jangan risau, ajak saja datang ke HQ, cakap sahaja produk ini menaja satu organisasi besar, putar-putar sebolehnya, asalkan produk terjual. Tanpa penjualan produk, tiadalah keuntungan mereka

Berlainan dengan ubatan hospital, kerajaan memperuntukan berbilion-bilion ringgit bagi subsidi perubatan. Doktor di hospital juga tidak akan dapat keuntungan berdasarkan ubat-ubat yang diberi. Malah di klinik-klinik kesihatan, ubat-ubat yang beharga ratusan ringgit boleh didapati hanya dengan kadar RM1!

Sudah tentu anda boleh membezakan siapa yang mahu menolong dan siapa mahu melingkupkan anda.

4) Pemerhatian berterusan VS perubatan sendiri (self medication)

Penggunaan produk-produk ajaib ini tidak dipantau. Ejen menjual pada anda, selepas dapat duit, mereka akan senyap. Jika buah pinggang anda rosak atau gula anda meningkat, mereka tidak peduli. Anda lah yang bersusah payah untuk ke hospital mendapatkan rawatan. Tambahan pula, langsung tiada pemerhatian berterusan dibuat pada anda. Anda makan suplemen mereka, mereka langsung tidak peduli kesan sampingan suplemen itu pada hati atau buah pinggang anda.

Ubat-ubatan hospital pula, sebelum dimulakan, akan diberitahu kemungkinan kesan sampingan walaupun risikonya serendah 1 dalam 1 juta orang! Malah pemerhatian berterusan akan dilakukan. Anda akan diberi temu janji dan ujian darah berkala bagi memastikan ubat itu berkesan dan tidak memberikan kesan sampingan kepada anda, biarlah ujian-ujian itu menelan belanja yang besar pun, tetap akan dijalankan.

Jadi kenapa anda masih mahu menguntungkan pihak yang hanya mahukan keuntungan tanpa mempedulikan organ-organ dalaman anda?

‘They must work. I’ve never had a repeat customer.’

5) Diberi pada semua VS diberi hanya untuk pesakit

Suplemen-suplemen zaman sekarang sangat hebat. Sesuai untuk semua orang katanya. Malah bayi baru lahir pun boleh makan suplemen mereka. Dahsyat! Dek kerana mahukan keuntungan berlipat kali ganda, ejen disuruh memperluaskan pasaran mereka, dan melibatkan semua orang. Lantaklah sakit atau tidak, semuanya kena beli suplemen ini. Yang sakit akan sembuh, yang tak sakit akan jadi supersaiya. Semua orang boleh pakai katanya.

Berlainan dengan ubat hospital, ia hanya diberi jika ada indikasi. Jika tiada indikasi, ubat-ubat hospital tidak akan diberikan sewenang-wenangnya. Ini bagi mengelakkan kesan sampingan terhadap pesakit dan juga mengelakkan pembaziran wang pesakit. Jika badan boleh sembuh tanpa penggunaan ubat, doktor tidak akan memberikan ubat tersebut. Perhatian juga akan diberikan pada pesakit-pesakit istimewa seperti pesakit buah pinggang. Ini kerana setiap pesakit berbeza, tiada ubat atau suplemen yang sesuai untuk semua.

Ejen-ejen suplemen kata produk mereka sesuai untuk semua sedangkan tiada langsung kajian mengatakan kesesuaian terhadap pesakit-pesakit istimewa, beranikah anda mengambil risiko?

6) Kesan sampingan, dilaporkan VS disorokkan

Penjual-penjual suplemen amat takut jika produk mereka menyebabkan kesan sampingan pada pengguna. Ini kerana ia melanggar janji mereka bahawa produk mereka selamat dan tiada kesan sampingan. Jika ada kesan sampingan berlaku, mereka akan berdolak dalih, akan menyalahkan pelbagai faktor lain. Malah ada yang akan menyorokkan laporan tersebut dan membiarkan sahaja pengguna malang itu.

Jika ubatan hospital, pesakit akan diberitahu sebelum menggunakan ubat, apa kesan sampingan yang mungkin berlaku. Ini bagi memudahkan pesakit mengenalpasti tanda-tanda kesan sampingan dan terus mendapatkan rawatan. Setiap kesan sampingan akan dirawat, ubatan yang lebih sesuai akan ditukar dan jika kesan sampingan yang serius berlaku, ia akan dilaporkan kepada badan berkaitan. Beberapa ubatan yang pernah dipasarkan ditarik balik disebabkan ini.

Pernah dengar suplemen menyebabkan kesan sampingan teruk? Bukannya tiada, tapi disorokkan. Kami yang bekerja di hospital dan klinik dah banyak jumpa.

Jadi, janganlah bazirkan duit anda dengan suplemen-suplemen ajaib. Walaupun harganya murah pada anda, keuntungan pada mereka berjuta-juta, malah tanpa perlu kajian dan pemerhatian, untung mereka bertambah-tambah. Produk-produk ini menjadikan anda lubuk emas mereka.

Jika anda sedang menggunakan ubatan hospital, patuhi nasihat doktor dan makan ubat seperti ditetapkan. Jika anda rasa tidak selesa dengan ubat itu, bincang dengan doktor. Kami tidak akan tinggalkan anda seperti ejen-ejen suplemen.

Gambar ihsan google

Dr Megat Mohamad Amirul Amzar b Megat Hashim
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
#DrAmirulPPUM
#M3

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here