Ubat dengan jus delima

0
400
views

UBAT DENGAN JUS BUAH DELIMA

Di pasaran kini terdapat banyak minuman kesihatan berasaskan jus buah. Produk minuman kesihatan ini terdiri daripada sama ada satu pati jus buah atau gabungan beberapa pati jus buah-buahan. Kesemua produk kesihatan berasaskan jus buah ini membuat tuntutan mempunyai kandungan antioksida dan berupaya meningkatkan kesihatan tubuh badan.

Namun, adakah mengambil perahan jus buah atau mengambil produk minuman berasaskan pati jus buah ini boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor untuk tujuan rawatan penyakit?

Kita ambil contoh jus buah delima. Buah delima kerap dijadikan jus dalam produk-produk kesihatan dan masyarakat kita juga gemar untuk mengambil perahan jus buah delima ini secara asli.
__________________________________________

BUAH DELIMA
Pelbagai bahagian pada pokok delima diambil atau digunakan sebagai bahan untuk dijadikan ubat-ubatan. Namun yang paling kerap dan mengandungi khasiat yang ketara adalah jus daripada buah delima itu sendiri.

Jus buah delima ini digunakan dalam rawatan pelbagai jenis penyakit, namun sehingga kini, tiada bukti saintifik dan klinikal yang cukup untuk membuktikan keberkesanan jus buah delima dalam tuntutan merawat penyakit.
__________________________________________

BAGAIMANA JUS BUAH DELIMA BERFUNGSI.
Jus buah delima mengandungi pelbagai bahan kimia yang mungkin mempunyai khasiat antioksida. Bahan dalam jus buah delima juga boleh mempengaruhi enzim-enzim di hati yang terlibat dalam metabolisma ubat-ubatan dalam tubuh.

Beberapa penyelidikan awal (kajian saintifik) menunjukkan bahawa bahan kimia dalam jus buah delima mungkin melambatkan perkembangan aterosklerosis (pengerasan arteri) dan mungkin boleh melawan sel-sel kanser. Namun sekali lagi diingatkan bahawa ia cuma kajian awal sahaja, masih belum cukup bukti kajian klinikal untuk membuktikan tuntutan kesihatan ini.
__________________________________________

INTERAKSI DENGAN UBAT YANG DIMETABOLISMAKAN DI HATI
Jus buah delima boleh berinteraksi dengan enzim yang bertindak dalam proses metabolisma ubat dalam tubuh. Enzim-enzim ini adalah cytochrome P450 2C9, 2D6, 3A4. Jus buah delima boleh mengurangkan kadar metabolisma ubat dalam tubuh (berapa cepat ubat diuraikan). Justeru minum jus buah delima dan mengambil beberapa jenis ubat-ubatan yang dimetabolismakan oleh enzim-enzim di atas boleh meningkatkan kesan dan kesan sampingan ubat-ubatan tersebut.

Ubat-ubatan terlibat:
Cytochrome P450 2C9 : celecoxib, diclofenac, fluvastatin, glipizide, ibuprofen, irbesartan, losartan, phenytoin, piroxicam, tamoxifen, tolbutamide, torsemide, dan warfarin.
Cytochrome P450 2D6 : amitriptyline, codeine, desipramine, flecainide, fluoxetine, ondansetron, tramadol
Cytochrome P450 3A4 : amlodipine, diltiazem, verapamil, indinavir, nelfinavir, ritonavir, saquinavir, alfentanil, fentanyl, midazolam, ondansetron, propranolol.
__________________________________________

INTERAKSI DENGAN UBAT MENGAWAL TEKANAN DARAH TINGGI
Jus buah delima juga dikatakan boleh mengurangkan tekanan darah. Oleh itu pengambilan jus buah delima bersama-sama dengan ubat atau kombinasi ubat-ubatan untuk mengawal tekanan darah tinggi mungkin menyebabkan tekanan darah diturunkan ke paras yang lebih rendah dan menyebabkan rasa pening, penglihatan kabur, keletihan dan mudah pengsan.

Ubat-ubatan terlibat:
captopril, enalapril, lisinopril, ramipril, losartan, valsartan, diltiazem, Amlodipine, hydrochlorothiazide, furosemide.
__________________________________________

INTERAKSI DENGAN UBAT STATIN
Dalam jus delima terdapat bahan yang dikenali sebagai polifenol. Ia bertindak sebagai antioksida dan boleh menghalang pembentukan plak dengan menghalang pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol tidak baik) dan seterusnya menghalang perkembangan penyakit arteri koronari.

Walaubagaimanapun mengambil ubat statin bersama-sama jus buah delima boleh meningkatkan paras statin dalam darah. Ini kerana jus buah delima mengandungi bahan yang boleh menghalang enzim hati dalam proses metabolima ubat statin.

Oleh itu, paras statin dalam darah akan meningkat dan boleh menyebabkan risiko kesan sampingan yang serius, termasuk keracunan. Dalam sebuah kajian yang dilakukan mendapati bahawa jus buah delima digabungkan dengan rosuvastatin (ubat untuk mengawal kolesterol) boleh meningkatkan risiko rhabdomyolysis.
__________________________________________

INTERAKSI DENGAN UBAT WARFARIN
Sehingga kini tiada laporan yang diterbitkan menyatakan dengan sahih terdapat interaksi antara jus buah delima dan warfarin. Penyelidikan yang dilakukan ke atas haiwan dan kajian in-vitro menunjukkan potensi untuk jus buah delima menghalang proses metabolisma yang melibatkan enzim cytochrome P450. Oleh itu, kesan ini secara teorinya boleh disifatkan mempunyai interaksi dengan warfarin.

Terdapat laporan kes berkaitan seorang wanita enggeris berusia 64 tahun yang telah dirawat dengan warfarin untuk recurrent deep vein thrombosis. Beliau telah menerima dos warfarin yang agak stabil iaitu 4 mg/hari untuk beberapa bulan, dengan bacaan INRs (nisbah normal antarabangsa) yang stabil. Pada masa yang sama, pesakit telah mengambil jus buah delima 2-3 kali dalam seminggu.

Apabila pesakit tersebut berhenti minum jus buah delima, Bacaan INRs beliau menjadi subtherapeutic (paras tidak berkesan). Oleh itu doktor telah meningkatkan dos warfarin pesakit tersebut untuk meningkatkan semula bacaan INRs seterusnya mengekalkan fungsi warfarin untuk mencegah pembekuan darah.

Walaupun tiada tindakan rechallenge dengan jus buah delima dilakukan dalam kes tersebut, berdasarkan teori dan kajian kes tersebut mungkin ada potensi untuk interaksi berlaku antara jus buah delima dengan warfarin. Oleh itu perlu berhati-hati dalam pengambilan jus buah delima ketika menerima rawatan dengan ubat warfarin.
__________________________________________

NASIHAT
Melihat kepada potensi bahan dalam jus buah delima berinteraksi dengan enzim hati yang terlibat dalam metabolisma ubat-ubatan, secara teorinya ada keberangkalian untuk interaksi ubat berlaku apabila diambil bersama-sama dengan jus buah delima.

Oleh itu, sebelum seseorang pesakit yang sedang menerima rawatan ubat-ubatan ingin mengambil jus buah delima, berbincanglah dahulu dengan ahli profesional kesihatan seperti ahli farmasi dan doktor agar nasihat yang betul dapat disampaikan berdasarkan status kesihatan terkini pesakit tersebut.

Selain daripada itu oarang awam juga boleh membuat panggilan ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800 88 6722. Melalui perkhidmatan pusat panggilan NPCC ini orang awam boleh bertanyakan sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan dan mendapatkan informasi yang sahih daripada pegawai farmasi bertauliah

“ELAKKAN BERTANYA KEPADA PENJUAL PRODUK”
Bertanyalah kepada ahli profesional kesihatan yang tidak menjual apa-apa produk kesihatan.

Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here