Uterine Prolapse (Rahim Jatuh atau Rahim Longgar)

0
584
views

Prolapsed Uterus (Rahim Jatuh/Rahim Longgar)

‘Kalau kau tak jaga pantang ni Sally, habislah kena tombong. Masa tu kau tak boleh nak patah balik. Silap-silap suami tinggal’. Bebel Zizah kepada sahabatnya.

Lebih-lebih lagi apabila sahabatnya mengadu bahawa terdapat ketulan di bahagian farajnya. Sebelum itu, Sally sering mengadu kurang keupayaan dalam menahan gesaan ingin kencing terutama semasa batuk atau bersin.

Prolapsed Uterus

Prolapsed Uterus adalah satu keadaan di mana rahim jatuh ke bawah. Kadang-kala ia terkeluar dari saluran faraj.

Keadaan ini kebiasaannya disebabkan oleh ligamen dan otot yang memegang rahim menjadi lemah akibat dari kehamilan dan kelahiran. Justeru itu rahim akan jatuh ke bawah melalui saluran faraj.

Prolapsed uterus merangkumi beberapa peringkat seperti;

  1. Jatuh sedikit dari kedudukan biasa (Peringkat awal)
  2. Pintu rahim jatuh sehingga ke permukaan faraj (Peringkat kedua)
  3. Keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj. (Peringkat Ketiga). Kebiasaannya ia dipanggil “tombong”

Tanda-tanda Prolapsed Uterus;.

  • Terasa ada sesuatu terkeluar di bahagian faraj.
  • Terdapat ketulan pada faraj
  • Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain) tidak kira semasa berjalan atau baring.
  • Sakit belakang.
  • Sakit semasa hubungan seks.
  • Pendarahan faraj selepas menopaus.
  • Inkontinens kencing (kencing tidak terkawal)
  • Sukar buang air kecil / besar.

Kesan gangguan prolapsed uterus ini adalah :

  • Masalah semasa membuang air kecil seperti kerap kencing ataupun sukar untuk kencing. Kebiasaannya, keadaan yang sering berlaku adalah sukar untuk mengawal air kencing terutama semasa batuk atau bersin selain semasa melakukan aktiviti yang menyebabkan tekanan pada perut seperti mengangkat anak. Keadaan ini akan menyebabkan air kencing akan keluar tanpa dapat dikawal ia secara tidak langsung mengganggu tugas harian seseorang wanita khususnya dalam melakukan aktiviti harian.
  • Gangguan hubungan kelamin disebabkan kelonggaran pada faraj khususnya pada ‘pelvic floor muscle’ yang memegang faraj. Kekuatannya untuk mencekang atau mengemut dalam proses hubungan seksual akan terganggu. Ini boleh mengurangkan kepuasan dan kenikmatan seks khususnya pada pihak suami.
  • Ketidakselesaan dan sakit pinggang juga antara masalah lain yang mungkin dihadapi. Apabila terlalu banyak berjalan, akan terasa seperti ada sesuatu yang akan keluar dari faraj. Ironinya, keadaan rahim yang jatuh ini akan menarik otot disekeliling lalu menyebabkan rasa tidak selesa.
  • Dalam kes prolapse peringkat ketiga (keseluruhan rahim terkeluar), pintu rahim yang terkeluar itu akan bergesel dengan seluar dalam lalu menyebabkan berlakunya luka. Ini akan menyebabkan jangkitan kuman berlaku dengan tanda-tanda keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak. Dalam jangka panjang ada kes di mana berlaku ketumbuhan akibat daripada pergeresan yang berpanjangan.

Punca?

Proses kehamilan dan kelahiran memang melemahkan dan melonggarkan tisu-tisu dalam badan khususnya tisu ligamen dan otot yang memegang faraj dan rahim. Ini satu perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi pemulihan boleh dicapai walaupun tidak sepenuhnya jika seseorang wanita itu mengamalkan senaman untuk menguatkan otot-otot di sekeliling faraj dan lantai punggung.

Kelahiran normal juga boleh menyebabkan kecerderaan dan menyebabkan kerosakkan ligamen-ligamen dan otot disekeliling faraj. Kecederaan yang berlaku boleh mengakibatkan kelemahan atau kekenduran otot peranakan.

Kelahiran yang memakan masa yang lama atau prolonged labour yang mana memerlukan ibu meneran dengan kuat atau kelahiran yang memerlukan bantuan seperti forceps juga merupakan faktor-faktor yang mungkin menyumbangkan kepada berlakunya prolapse di kemudian hari.

Keadaan menopaus atau kekurangan hormon semasa meningkat usia; samaada yang berlaku secara semulajadi iaitu ketika sudah berusia, ataupun ekoran daripada pembedahan yang melibatkan ovari terpaksa dibuang boleh menyebabkan keadaan kekurangan hormon dan seterusnya menimbulkan kelemahan pada otot dan ligamen peranakan.

Pengecutan pada tisu, ligamen dan otot dalam jangka panjang akan menyebabkan prolapse. Prolapse peringkat yang teruk sering berlaku pada wanita-wanita yang berumur 60 ke atas akibat daripada kekurangan hormon ekoran daripada menopaus.

Bagi wanita yang mengalami fibroid tanpa berlaku pendarahan atau kesakitan (jika terjadi selepas putus haid) boleh menjadi punca berlakunya prolapse rahim kerana ia mampu memberikan tekanan kepada rahim untuk jatuh kebawah.

Antara langkah pencegahan dari berlakunya prolapsed uterus ini adalah;

  • Jaga kesihatan dan mengawal berat badan kerana kegemukan adalah salah satu faktor yang boleh menyumbang berlakunya perkara ini.
  • Melakukan pelvic floor exercise/kegel exercise/senaman kemut untuk menguatkan otot perut dan lantai punggung ketika hamil dan selepas bersalin.
  • Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelakkan sembelit. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin.
  • Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku.
  • Elakkan mengandung yang kerap dan rapat. Beri masa untuk rahim kita berehat dan mengalami proses pemulihan. Sebelum bersedia untuk kandungan yang seterusnya.

Terdapat intervensi surgical jika keadaan memerlukan atau kejadian terjadi bertambah teruk seperti;

  • Vaginal hysterectomy; pembedahan membuang rahim melalui faraj. Pembedahan yang tidak melibatkan bukaan pada abdomen.
  • Untuk masalah stress incontinence (terkencing/terkucil) semasa batuk atau bersin, pembedahan seperti ‘Transvaginal tape (TVT)’ boleh dilakukan bersama dengan vaginal hysterectomy (jika perlu).

Notakaki;

Punca jangkitan pada salur kencing mudah terjadi kepada wanita adalah kerana salur kencing (urethra) wanita adalah lebih pendek jika dibandingkan dengan lelaki. Maka jika hygiene tidak dijaga dengan baik. Potensi jangkitan mudah berlaku.

Rujukan;

  1. http://www.healthline.com/health/uterine-prolapse
  2. http://www.nhs.uk/conditions/Prolapse-of-the-uterus/Pages/Introduction.aspx
  3. Dr Anna Liza Roslani, Pakar Obstetrik dan Ginekologi

Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah
Jururawat Terlatih
https://www.facebook.com/belnawhen
#HashtagBelNawhen
#SayaJururawat
#M3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here